Kaum Dayak berperanan bantu tingkatkan pembangunan, sokong kepimpinan Abang Jo

KUCHING: Masyarakat Dayak disaran memainkan peranan masing-masing dalam mengekalkan perpaduan bagi meningkatkan dan memacu pembangunan Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, usaha itu perlu dijalankan agar selari dengan misi Kerajaan Sarawak memajukan negeri ini yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Hal ini terutamanya dalam mencapai misi dan visi yang dibawa oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang akan memberi manfaat kepada Sarawak di masa hadapan.

“Saya menggesa kaum Dayak memainkan peranan mereka terutamanya dalam memajukan Sarawak seiring dengan visi Premier Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Uggah menjelaskan, Abang Johari telah melakukan pelbagai perkara luar biasa kepada kaum Dayak terutamanya penubuhan sembilan agensi pembangunan wilayah yang memberi manfaat kepada komuniti tersebut.

“Disebabkan itu, barisan kepimpinan kaum Dayak berikrar menyokong penuh Premier Sarawak dalam usaha membawa pembangunan di negeri ini yang telah banyak membantu dan meningkatkan ekonomi kaum Dayak khususnya,” katanya.

Terdahulu, orang ramai hadir memeriahkan majlis tersebut yang berbaris sejak jam 10 pagi tadi.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tuk Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang turut hadir menyerikan perayaan berkenaan.

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Premier Sarawak serta pasangan masing-masing telah disambut dengan melakukan upacara-upacara kaum Bidayuh iaitu upacara Umon Birawan, Upacara Mipis dan diakhiri dengan melihat upacara Thetoi yang merupakan upacara doa.

Majlis dirasmikan dengan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta Premier Sarawak memalu gendang dan melakukan ‘Nyeradak Ai Pengayuh’ atau dalam bahasa Bidayuh ‘Nuok Piin Gawea’ sebagai simbolik perasmian.