KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) memerlukan peruntukan hampir RM1 bilion bagi membina semula jajaran ‘redline’ sepanjang lebih kurang 140 kilometer (km) di Lebuh Raya Pan Borneo (LPB).
‘Redline’ bermaksud laluan asal sedia ada sebelum pembinaan LPB dan ia melibatkan kawasan Kuching, Serian, Sibu, Bintulu, Julau dan Miri.
Menurut Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, jajaran ini tidak terlibat dalam pembinaan LPB Sarawak dan kini berada dalam keadaan yang daif memandangkan ketika dibina dulu, ia tidak serupa dengan standard yang ditetapkan di bawah pembinaan lebuh raya baharu itu.
Menurutnya, semua jajaran ‘redline’ yang melibatkan Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri di Sarawak perlu dibina semula dan dinaik taraf agar mengikut standard projek LPB.
“Dulu dalam projek asal LPB, ‘redline’ tidak termasuk kerana untuk menjimatkan bajet kita bina Pan Borneo, sekarang sudah sekian lama ia (‘redline’) tidak dibina, sekarang rosak.
“Kita perlu sempurnakan supaya ‘redline’ ini mencapai standard LPB yang sudah siap,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Tambah beliau, kementeriannya akan terus berusaha untuk mendapatkan dana yang diperlukan untuk menyempurnakan projek berkenaan.
Rumah terbuka itu dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tuk Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
