Jajaran Sibu – Dalat rancakkan pembangunan tiga DUN

DALAT: Pembinaan Jajaran Sibu – Dalat akan merancakkan ekonomi dan pembangunan di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di wilayah tengah Sarawak iaitu Jemoreng, Bawang Assan dan Dalat.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata perkara itu dimaklumkan beliau kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof semasa pertemuan mereka baru-baru ini.

Katanya, Jajaran Kut Muara ke Bungan ini diluluskan dalam Rancangan Makaysia Ke-12 (RMK12) membabitkan peruntukan sebanyak RM130 juta meliputi jarak sembilan kilometer (km).

“Penilaian sedang dilakukan dalam Julai nanti dan perlantikan konsultan bersama JKR Persekutuan, pada September depan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penutupan Kaul Sg. Kut Muara di Dewan Serbaguna Kut Muara Seberang, Dalat, semalam.

Menurutnya, projek tersebut dijangka bermula Januari 2026 sebaik ‘alignment’ dan hal-hal berkaitan siap sepenuhnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu menambah, beliau telah memohon kepada Kerajaan Sarawak untuk pembinaan sebuah lagi jalan serta jambatan yang menghubungkan Sibu ke Mukah melalui Sungai Pinang, Bungan Besar, Bungan Kecil, ke Sg. Kut Muara, Kekan Seberang dan Medong Seberang.

Katanya, jalan sepanjang 14km dengan kos RM140 juta itu bakal memendekkan perjalanan dari Sibu ke Dalat dengan hanya sejam sahaja apabila ia siap kelak.