Kekalkan keunikan sambutan Gawai Dayak

SARATOK: Penduduk daerah ini harus mengekalkan keunikan amalan sambutan Gawai Dayak tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, di daerah Saratok terdapat lebih 27 etnik dan mereka harus mengekalkan keunikan ini yang wujud sejak turun-temurun dan menjadikan Sarawak sebagai contoh perpaduan untuk generasi akan datang.

“Masyarakat Iban, Orang Ulu, Bidayuh, Melayu dan Cina sama-sama meraikan tanpa mengira latar belakang, ini adalah keunikan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Rumah Terbuka Gawai Dayak peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian di Dewan Rumah Dayak, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah ADUN Krian, Friday Belik dan Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom.