KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kolej I-Systems Kuching akan bekerjasama bagi menyediakan latihan komprehensif dan berkualiti kepada pengasuh dan penjaga dalam industri penjagaan.
Menterinya Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, industri penjagaan di bawah KPWKM memerlukan latihan bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi teori bagi memenuhi keperluan negara.
Dalam hal ini kementeriannya dan Kolej I-Systems Kuching akan menggabungkan kemahiran dari segi fizikal dan teori untuk memastikan segala latihan yang disediakan adalah komprehensif dan berkualiti.
Katanya, pengasuh dan penjaga di institusi di bawah KPWKM memang telah menerima latihan tetapi pada tahap asas.
“Kita perlu mengambil kira keperluan negara yang mana sekarang, bukan sahaja latihan fizikal yang diperlukan, tetapi juga teori.
“Justeru, kita memerlukan mereka yang betul-betul terlatih,” katanya dalam sidang media bersama Kolej I-Systems di Kuching hari ini.
Sementara itu katanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya dari Sarawak berpeluang mendapat jaminan pekerjaan di pelbagai hospital di negeri ini dengan menyertai program Diploma Kejururawatan yang ditawarkan Kolej I-Systems Kuching.
Katanya, kolej tersebut tidak hanya menyediakan program pendidikan, tetapi pembiayaan penuh dan elaun kepada pelajar untuk memastikan mereka memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pencapaian akademik dan pembangunan profesional.
Untuk rekod, Kolej I-Systems Kuching ditubuh lebih 22 tahun menawarkan khusus program Sains Kesihatan merangkumi Diploma Kejururawatan, Diploma Pengurusan Penjagaan Kesihatan serta Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan termasuk Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
Program-program ini telah menerima pengiktirafan penuh dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Lembaga Jururawat Malaysia (LIM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (MOHE).
