KUCHING: Acara-acara berkaitan pelancongan baharu dilaksana akan dinilai terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan Sarawak.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, kerajaan negeri sentiasa menyokong acara-acara baharu dianjurkan pertama kalinya di negeri ini.
Ini termasuk Pesta Suntong Bako yang menyaksikan pertandingan mencandat sotong di Terminal Penumpang Bako yang berpotensi menarik kehadiran pengunjung.
“Apa-apa program bersangkut-paut pelancongan yang baharu diangkat kita akan nilai sambutannya dari segi penganjuran, masyarakat sebagainya.
“Jika mendapat sambutan dalam tempoh dua hingga tiga tahun maka kita akan masukkan dalam kalendar pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penangguhan Pesta Suntong Bako 2024 di Bako, di sini, semalam.
Jelasnya, pesta tersebut dapat mempromosi identiti Kampung Bako sebagai tumpuan sumber perikanan serta penjualan produk makanan berasaskan hasil laut, serta memberi impak positif kepada sektor pelancongan.
Mengulas mengenai isu tiada kemudahan yang bersih di chalet-chalet di Taman Negara Bako, jelasnya ia sudah ditangani.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abang Hipni mengumumkan projek untuk menaik taraf kawasan Kampung Bako l mula dilaksanakan.
Katanya, projek bernilai RM10 juta melibatkan pembinaan medan selera dan pasar ikan yang baharu itu akan menempatkan pemilik gerai di bahu-bahu jalan di Kampung Bako.
