Projek perumahan simpang jalan menuju ke Sri Aman, Betong dilulus

BETONG: Sarawak mampu mengeluarkan padi mencukupi untuk seluruh Malaysia dengan menggunakan teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu, Sarawak berpotensi menukar industri penanaman padi dan menjadi perintis dalam menghasilkan padi.

Namun tegasnya, petani harus berubah dengan memanfaatkan teknologi dan kaedah baharu menghasilkan padi untuk meningkatkan pendapatan.

“Dengan menggunakan teknologi baharu AI, ia mampu mengangkatkan pengeluaran padi kita,” jelasnya semasa berucap pada Majlis Ngabang Gawai Dayak Bahagian Betong 2024 hari ini.

Dalam pada itu, Premier Sarawak turut meluluskan pembinaan bangunan baharu Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di Betong bagi memenuhi permintaan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

“CENTEXS mempunyai teknologi baharu yang mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi yang boleh dilaksanakan di kawasan Betong,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari turut meluluskan pembangunan projek perumahan dan lot komersial di simpang jalan menuju ke Sri Aman dan Betong.

Ujarnya, projek perumahan itu bakal membekalkan sebanyak 1,000 lot rumah dan akan dilaksanakan secara berfasa.