Nama pahlawan Sarawak diabadikan

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membangunkan sebuah kawasan baharu untuk mengabadikan jasa pahlawan yang banyak berjasa kepada negeri dan negara.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Aband Johari Tun Openg berkata, Sarawak akan membangunkan sebuah kawasan baharu yang boleh dinamakan atas nama pahlawan bagi mengenang jasa mereka.

Kerajaan akan terus mengabadikan nama-nama pahlawan yang telah banyak berjasa kepada Sarawak dan negara amnya di lokasi terpilih di negeri ini, katanya selepas melakukan penghormatan terakhir terhadap penerima Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) mendiang Koperal (B) Etin Jam di Dewan Suarah Kuching hari ini.

Sarawak sedang rancak membuka tempat baharu sejajar dengan proses pembangunan yang sedang dilaksanakan, tegas beliau dan menambah, sebelum ini nama bekas Pahlawan Negara Temenggong Datuk Kanang Langkau juga telah diabadikan di satu lokasi di negeri ini.

“Begitu juga dengan pahlawan kita yang lain, sudah tentu kita mengambil kiralah,” katanya.

Menurut Abang Johari, semangat juang yang ditunjukkan oleh mendiang Etin semasa perkhidmatannya perlu dijadikan contoh kepada generasi muda dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara ini.

Semasa perkhidmatannya, mendiang telah berjaya membunuh seorang pengganas komunis yang menyerang hendap rombongan beliau yang sedang mengiringi sebuah lori Jabatan Kerja Raya (JKR) yang membawa bahan letupan pemecah batu pada 29 April 1972.

Hadir sama semasa penghormatan terakhir itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sti John Sikie Tayai, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik.