KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am, Polis Diraja Malaysia (PGA, PDRM) memperketatkan kawalan keselamatan dalam usaha memperkukuhkan kawalan keselamatan sempadan Sarawak-Kalimantan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, ia susulan pemindahan ibu kota Indonesia ke Nusantara yang dijangka meningkatkan kepadatan penduduk dan aktiviti ekonomi berhampiran sempadan.
Katanya, antara langkah yang telah diambil ialah mewujudkan Batalion 23 PGA Sri Aman bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan sempadan.
“PDRM melaksanakan penambahan anggota melalui penstrukturan semula PGA yang melibatkan penambahan satu Batalion baharu PGA di Sarawak iaitu Batalion 23 PGA Sri Aman. Kawasan tanggungjawab Batalion 23 PGA meliputi Bahagian Serian, Bahagian Sri Aman dan Bahagian Betong,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee semasa Persidangan Parlimen hari ini.
Selain itu katanya, kerajaan telah meluluskan RM28 juta bagi pembinaan tujuh pos kawalan keselamatan sempadan baharu di bawah Rancangan Boleh Pinda Ketiga, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang kini dalam fasa dokumentasi tender dan pelaksanaan projek untuk lokasi.
Katanya, pos kawalan tersebut ialah Pos Raso 1, Lundu; Pos Stass, Bau; Pos Sapit, Padawan; Pos Tepoi, Serian; Pos Klauh, Sri Aman; Pos Gua Ming, Sri Aman dan Pos Sg Putong, Sri Aman.
Katanya, kerajaan turut meluluskan peruntukan tambahan sejumlah RM64,318,800 di bawah peruntukan khas pembangunan sempadan Sarawak kepada Briged Sarawak PGA bagi 22 projek pembangunan dengan pecahan 14 projek bukan fizikal yang melibatkan perolehan peralatan operasi dan lapan projek fizikal yang melibatkan kerja fizikal iaitu pembinaan Forward Operation Base (FOB)di sempadan Sarawak-Kalimantan.
“PGA, PDRM juga telah diluluskan peruntukan berjumlah RM12 juta di bawah RMK-12 bagi perolehan empat unit Drone Vertical Take Off and Landing (VTOL) dan peruntukan berjumlah RM7.5 juta di bawah Rancangan Boleh Pinda Kedua (RP2, RMK-12) bagi perolehan lima unit Mobile Surveillance Thermal Radar.
Aset-aset tersebut dalam proses pembekalan,” jelas Saifudin lagi.
