KUCHING: Kejayaan sebenar sesuatu projek ditentukan oleh pelaksanaannya di lapangan bukan sekadar laporan di atas kertas, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Dato Sri Julaihi Narawi.
Berucap pada sambutan Hari Integriti MUT di sini hari ini, beliau berkata, nilai integriti dan tanggungjawab menjadi asas utama dalam memastikan projek rakyat dilaksanakan dengan telus, berkesan dan menepati keperluan masyarakat.
Menurutnya, pemantauan di lapangan membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku kelewatan atau masalah teknikal, sekali gus menjamin mutu pelaksanaan projek.
“Turun padang bukan hanya tugas teknikal, tetapi menunjukkan keprihatinan kerajaan memahami cabaran sebenar rakyat serta memastikan hasil pembangunan memberi manfaat terus kepada komuniti,” katanya.
Dalam masa sama, Julaihi menzahirkan kebimbangan terhadap vandalisme aset utiliti yang menjejaskan perkhidmatan dan mencetuskan salah faham terhadap agensi pelaksana.
Katanya, tindakan seperti mencuri kabel dan membuka injap air secara haram sering menyebabkan gangguan bekalan air serta elektrik.
“Akibatnya, masyarakat menuding jari kepada agensi seperti Sarawak Energy Berhad (SEB) sedangkan puncanya berpunca daripada sabotaj individu tidak bertanggungjawab,” tegasnya.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Menteri MUTS Datuk Liwan Lagang dan Datuk Ibrahim Baki, Setiausaha Tetap MUTS Datu Jafri Lias, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Datu Ir Ts Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan.
