Kipli Yasin berkhidmat 16 tahun, tinggalkan legasi besar institusi fatwa Sarawak

KUCHING: Tirai kepimpinan Kipli Yassin sebagai Mufti Sarawak bakal dilabuhkan esok, menandakan berakhirnya 16 tahun khidmat beliau menerajui institusi fatwa negeri.

Sepanjang tempoh itu, beliau menekankan pendekatan sederhana serta kepekaan terhadap realiti masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak dalam setiap keputusan yang dibuat.

Menurutnya, institusi fatwa tidak boleh bergerak dalam kerangka hukum semata-mata tanpa memahami konteks sosial negeri ini yang unik.

“Fatwa dikeluarkan untuk umat Islam, namun kita sentiasa berhati-hati agar ia tidak menimbulkan salah faham atau menyentuh sensitiviti masyarakat lain. Keharmonian mesti dipelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi hari ini.

Tambahnya, dukungan kepimpinan negeri membolehkan institusi fatwa berkembang lebih sistematik dan responsif, termasuk menyesuaikan pendekatan dengan kemajuan teknologi serta keperluan generasi semasa.

Pengalaman lebih sedekad setengah itu, katanya, membuka ruang untuk beliau memahami denyut nadi masyarakat Sarawak secara lebih mendalam, sekali gus memperkukuh pendekatan inklusif dalam menangani isu agama.