KKM percepat pelaksanaan Klinik Kesihatan Jenis Tiga di Betong

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempercepatkan pelaksanaan Klinik Kesihatan (Jenis 3), Pejabat Kesihatan serta kuarters kakitangan di Bahagian Betong, Sarawak.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib berkata iklan tender projek itu yang bernilai hampir RM78 juta dijangka dilaksanakan suku keempat tahun ini.

Manakala, Surat Setuju Terima (SST) projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) itu pula dijadual pada suku pertama tahun 2027.

“KKM bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) menubuhkan jawatankuasa pemantauan projek di peringkat kementerian dan agensi pelaksana,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu mengenai status dan komitmen KKM terhadap pelaksanaan projek terbabit dalam Sesi Pertanyaan di Kamar Khas, Parlimen di sini, hari ini.

Menurut Hanifah penubuhan jawatankuasa pemantauan projek itu bagi memastikan proses tender reka dan bina dilaksanakan secara telus, cekap serta menepati jadual.