Kompleks bangunan pentadbiran baharu untuk keselamatan, belum ada nama

KUCHING: Kerajaan Sarawak belum menetapkan nama kompleks bangunan pentadbiran baharu dekat Petra Jaya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kompleks itu bukan “Rumah Putih” seperti kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat.

“Kompleks tersebut masih dalam pembinaan dan belum ada kakitangan kerajaan yang berpindah ke sana.

“Ia dibina untuk tujuan keselamatan, menggantikan Wisma Bapa Malaysia untuk menyimpan rahsia kerajaan negeri,” katanya.

Beliau yang juga Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti PBB Ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Abang Johari turut memaklumkan bahawa beliau belum melawat kompleks tersebut dan menyerahkan urusan tersebut kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak.

Kompleks itu akan dilengkapi dengan ciri keselamatan canggih dan menjadi pusat data bagi kerajaan negeri, ujarnya.