Kontraktor bukan punca kerja naik taraf Jalan Oya lewat

KUCHING: Kelewatan kerja-kerja menaik taraf Jalan Oya bukan disebabkan prestasi buruk kontraktor yang melaksanakannya.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Unit Perhubungan Awam Ibu Pejabat, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak menjelaskan bagaimanapun, punca kelewatan jalan sepanjang 1.4 kilometer (km) akibat kerja-kerja pemindahan dan peralihan perkhidmatan bawah tanah yang rumit dan memerlukan masa yang panjang.

Menurut kenyataan itu, JTS bekerjasama dengan agensi utiliti yang berkaitan untuk memindahkan perkhidmatan berkenaan secara teliti tanpa sebarang gangguan di samping memberi keutamaan kepada keselamatan awam.

Katanya, kemajuan fizikal sehingga kini mencapai 69.74 peratus berbanding kemajuan yang dirancang sebanyak 71.51 peratus, namun masih boleh dianggap sebagai kemajuan.

“Agensi utiliti yang terlibat komited untuk menyelesaikan semua pemindahan perkhidmatan menjelang suku pertama 2024, seterusnya menyelaraskan jadual pembinaan jalan sehingga November 2024,” jelas kenyataan itu lagi.

Dalam hal ini, JTS menzahirkan terima kasih kepada orang ramai atas pertimbangan dan kesabaran yang diberikan sepanjang tempoh pelaksanaan projek tersebut.