Sarawak perlukan 1,500 guru baharu

KUCHING: Penempatan seramai 1,108 baharu di Sarawak Disember ini merupakan permulaan baik bagi mengatasi kekurangan guru di Sarawak.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, ini kerana Sarawak masih memerlukan lagi sekurangnya seramai 1,500 guru baharu dalam pelbagai disiplin.

“Menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan isu kekurangan guru dapat ditangani secara holistik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai penempatan seramai 1,108 guru baharu di seluruh Sarawak berkuatkuasa kuasa 28 Disember 2023.

Seramai 422 guru terbabit bakal ditempatkan di sekolah rendah, manakala 686 guru lagi di sekolah menengah.

Sehubungan itu, Roland berkata kementeriannya telah membincangkan isu itu dengan semua pihak berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).

Katanya isu ini juga telah diusulkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof dan dibincangkan melalui Jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta cadangan telah dikemukakan berkaitan penurunan kuasa pengambilan guru baharu daripada SPP kepada KPM.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dalam kenyataan memberitahu,

Kementerian Pendidikan (KPM) akan menempatkan seramai 1,108 guru baharu di Sarawak berkuat kuasa 28 Disember ini.

Menurut kenyataan itu, guru terbabit terdiri daripada siswazah keluaran universiti awam dan swasta bagi membantu mengatasi masalah kekurangan guru di negeri ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *