KUCHING: Penubuhan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) merupakan salah satu inisiatif Sarawak dalam usaha menambah baik sistem pendidikan di negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam) Datuk Abdullah Saidol berkata, MEITD akan menjadi perantara dalam menangani isu-isu pendidikan termasuk kebajikan warga pendidik.
Selain itu, Sarawak katanya juga berusaha meningkatkan keterujaan pelajar sekali gus mengubah persepsi mereka terhadap persekitaran pembelajaran di sekolah.
Beliau berucap demikian semasa menyempurnakan Majlis Makan Malam Penutupan Lawatan Muhibbah Ke Sarawak 2023 melibatkan Pegawai-Pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pengetua dan Guru Pengawas Program Pertukaran Pelajar anjuran Yayasan Sarawak di Kuching, semalam.
Katanya, selain memberi tumpuan kepada keceriaan serta kemudahan sekolah yang berkualiti, penekanan terhadap keselesaan kediaman guru juga turut menjadi keutamaan.
Beliau menzahirkan tahniah kepada Yayasan Sarawak kerana berjaya melangkah setapak dan bertindak proaktif dengan berjaya mengadakan persefahaman melalui ikatan perjanjian penajaan pelajar bersama Petronas, sebuah syarikat terbesar di Malaysia.
Menurutnya, kerjasama dan pembabitan Petronas menerusi Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) mampu meningkatkan peluang penajaan kepada anak-anak Sarawak yang cemerlang dan melanjutkan pelajaran Semenanjung Malaysia di bawah Program Pertukaran Pelajar.
Mengenai Program Pertukaran Pelajar Yayasan Sarawak, Abdullah berkata program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran mahupun berkenalan bersama rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia malah dalam masa sama, dapat mengenali budaya dan adat resam yang berbeza dalam kalangan masyarakat.
