Masjid Darul Huda, Kampung Siol Kandis simbol kerjasama kerajaan, komuniti

KUCHING: Masjid Darul Huda Kampung Siol Kandis yang menjadi simbol keprihatinan dan kerjasama erat antara kerajaan negeri, komuniti serta pewakaf tanah dirasmikan pada hari ini oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Masjid yang dibina dengan kos berjumlah RM5.2 juta itu bukan sahaja boleh menampung seramai 1,200 orang jemaah, malah juga mencerminkan semangat gotong-royong penduduk kampung dan sokongan penuh Kerajaan Sarawak.

Difahamkan kos pembinaan sebanyak RM3.9 juta diperuntuk oleh kerajaan negeri, manakala RM1.3 juta lagi hasil derma wakaf komuniti setempat.

Tapak masjid seluas 4,570 meter (m) persegi ini adalah hasil sumbangan tanah wakaf mantan Presiden Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Cawangan Sarawak, Allahyarham Tan Sri Abang Khalid Tan Sri Abang Marzuki dan Puan Sri Lily Johari serta Allahyarham Abdul Rahim Moharif sekeluarga.

Selesai solat Jumaat berjemaah majlis perasmian masjid turut menyaksikan simbolik sumbangan sebuah van jenazah daripada Yayasan Bintulu Port yang dapat membantu mempercepat dan mempermudah pengurusan jenazah di kawasan itu.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha.

Masjid Darul Huda kini menjadi simbol kesatuan komuniti dan komitmen terhadap pembangunan berasaskan nilai-nilai Islam, sekali gus membawa manfaat kepada masyarakat Kampung Siol Kandis dan sekitarnya.