Uggah bantu 73 mahasiswa Dayak UM

KUALA LUMPUR: Sekumpulan 73 mahasiswa masyarakat Dayak di Universiti Malaya (UM) pada Selasa lalu menerima bantuan kewangan daripada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Presiden Persatuan Alumni Dayak Universiti Malaya (PADUM), Coolplay Nyipa menyampaikan bantuan kewangan itu bagi pihak Uggah.

Uggah yang juga penasihat PADUM adalah bekas pelajar UM.

Hadir sama Timbalan Naib Cancelor UM (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr Zamri Radzi dan Prof. Madya Dr Muhamad Shakirin Mispan, Pengarah Pusat Pembangunan dan Keusahawan Pelajar, Prof. Madya Dr Julia Patrick Engkasan, Dr Pozi Milo dan ahli-ahli PADUM.

Coolplay berkata, berdasarkan data daripada pejabat Hal Ehwal Pelajar UM, kini terdapat seramai 322 pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda dan program matrikulasi di UM.

Daripada jumlah itu, kira-kira 83 peratus adalah pelajar Dayak daripada keluarga B40.

Beliau menzahirkan rasa penghargaan kepada Uggah dan ahli-ahli PADUM atas sumbangan kewangan itu sebagai insentif dan program bantuan kepada pelajar terbabit.

Prof.Madya Dr Muhamad Shakirin Mispan pula berkata, 67 peratus daripada mahasiswa terbabit adalah pelajar daripada keluarga kumpulan B40.

Beliau berkata, kos sara hidup minima bagi setiap pelajar dianggarkan RM1,000 sebulan termasuk yuran.

Prof. Dr Zamri Radzi yang berucap pada majlis itu memuji usaha yang dilaksanakan oleh PADUM dalam membantu mahasiswa terutama daripada keluarga kumpulan B40.

Beliau berkata, UM boleh berkolaborasi dengan PADUM untuk menganjurkan acara memperkenalkan budaya Sarawak terutama budaya masyarakat Dayak kepada orang ramai dan berharap persatuan lain tampil membantu pelajar daripada keluarga kumpulan B40.