DARO: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad mengekalkan jawatan sebagai ketua cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Daro sesi 2025 hingga 2027 pada mesyuarat perwakilan di sini, malam tadi.
Mesyuarat Perwakilan Tritahunan Parti PBB Cawangan Daro yang berlangsung dalam suasana harmoni dan kekeluargaan itu menyaksikan timbalan ketua cawangan, Hamden Taha turut menang tanpa tanding.
Kemenangan itu diumum oleh penyelaras mesyuarat, Setiausaha Politik Premier Sarawak , Romeo Christopher Tegong.
Sementara itu, Ketua Pemudanya, Mohd Faizal Jamiludin dan Ketua Wanita, Mastiah Ahmad masing-masing menang tanpa bertanding.
Sementara itu, Safiee Ahmad dalam ucapanya menzahirkan terima kasih kepada ahli-ahli parti kerana memberi beliau mandat untuk menerajui cawangan tersebut selama tiga tahun.
“Kerjasama dan sokongan padu daripada ahli-ahli parti menyumbang kepada kekuatan pentadbiran parti Cawangan Daro.
“Terima kasih dan saya amat menghargai sumbangan yang telah anda berikan sepanjang berkhidmat dengan cawangan Daro ini. Marilah kita berganding bahu memaju dan memantapkan jentera cawangan untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya akan datang,” katanya.
