Premier Sarawak bakal rasmi Jambatan Muara Lassa 22 Februari 2025

DARO: Jambatan Muara Lassa bakal dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 22 Februari 2025.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, dengan siapnya jambatan tersebut, ia mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam mengutamakan keselesaan rakyat.

“Alhamdulillah, saya mendapat makluman dari Pejabat Premier yang memaklumkan beliau telah bersetuju untuk hadir pada majlis perasmian Jambatan Muara Lassa yang akan diadakan pada 22 Februari 2025 pada pukul 10.30 pagi.

“Inilah satu kejayaan besar buat kita semua kerana mempunyai sebuah kerajaan yang prihatin keselesaan rakyat.

“Walaupun pembinaan jambatan ini menggunakan kos yang tidak rendah, tetapi kerajaan telah melaksanakan impian kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Tritahunan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.43 Daro di Dewan Masyarakat Daro, Daro,malam tadi.

Bercakap mengenai projek Jambatan Muara Lassa ujarnya, pembinaan jambatan tersebut mula dilaksanakan pada 2019, namun ia tertunda disebabkan pandemik Covid-19.

Jambatan Muara Lassa merupakan antara tiga projek jambatan dibina oleh kerajaan negeri di kawasan pesisir selain Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Batang Igan.

Untuk rekod, Jambatan Muara Lassa yang sepanjang 2.43 kilometer (km) ini mempunyai dua laluan, merupakan jambatan kedua terpanjang di Sarawak membabitkan kos RM597.58 juta.