DARO: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.43 Daro mengemukakan usul agar kesemua jawatan tertinggi Majlis Tertinggi (MT) parti tidak dipertandingkan pada Konvensyen Parti PBB Februari depan.
Usul ini dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro yang juga ketua cawangan, Safiee Ahmad semasa perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan Parti PBB N.43 Daro oleh Timbalan Yang di-Pertua Parti merangkap Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Dewan Masyarakat Daro di sini, hari ini.
Menurut Safiee, usul tersebut dikemukakan demi perpaduan dan kesejahteraan Parti PBB yang menjadi tulang belakang Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Inilah usul dari Cawangan N.43 Daro agar pemimpin yang sedia ada meneruskan perjuangan parti untuk kesenangan generasi akan datang dan ahli-ahli,” katanya.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) yang juga ADUN Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi serta Setiausaha Politik Premier Sarawak yang juga penyelaras mesyuarat pergerakan wanita, Fridah Osman.
Cawangan Daro mempunyai 25 ranting keseluruhan, sementara mesyuarat dihadiri masing-masing 69 perwakilan wanita dan 69 pemuda manakala 129 perwakilan (badan induk) dan 120 pemerhati.
