Enam negara pilihan destinasi penerbangan MASwings selepas pengambilalihan

SANTUBONG: Sarawak akan memfokuskan enam negara sebagai destinasi pilihan selepas memuktamadkan perjanjian jual beli MASwings iaitu anak syarikat penerbangan serantau Malaysia Aviation Group (MAG).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, enam destinasi tersebut ialah Korea, Jepun, Hong Kong, Bangkok (Thailand), Jakarta (Indonesia) dan Frankfurt, Jerman.

Menurutnya, destinasi penerbangan ini akan memberikan akses pelancongan kepada kedua-dua pihak.

“Dapat kita melancong dan membawa pelancong ke Sarawak supaya mereka dapat makan ‘mi kolok’,” ujarnya berseloroh.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Setiausaha Kewangan Sarawak dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baru di Damai Beach Resort malam tadi.

Sebagai perancangan katanya, Kerajaan Sarawak akan membeli beberapa pesawat baharu bagi menampung destinasi pelancongan ini kelak.

Sebelum ini, Abang Johari memaklumkan pengambilalihan MASwings akan dimuktamadkan sepenuhnya pada bulan ini.

Dalam pada itu, Premier Sarawak berkesempatan menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 14 pegawai.

Selain itu, turut disampaikan sijil kepada tiga pegawai yang bersara dan seorang yang berpindah tempat tugas.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar dan Timbalan Setiausaha Kewangan Sarawak Datu Hasmawati Sapawi.