Miro Simuh umum tamatkan ‘zaman muda’ kepimpinan Pemuda Parti PBB

KUCHING: Ketua Pemuda Sayap Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Miro Simuh mengumumkan menamatkan zaman muda bersama sayap berkenaan.

“Setelah 15 tahun berjuang, berolah, dan bermacam ragam dalam Pergerakan Pemuda Parti PBB, sudah sampai masanya untuk saya menamatkan zaman muda saya bersama Pemuda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti PBB di Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Miro yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu berkata, dari landasan sayap pemuda ini bermulanya kerjaya serius politik beliau bermula sebagai Ahli MKT Pemuda, Naib Ketua Pemuda, Timbalan Ketua Pemuda dan Ketua Pemuda.

“Rasanya tanpa adanya platform pemuda ini, kemungkinan kerjaya politik saya tidak akan menjadikan saya sebagai seorang Ahli Yang Berhormat,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan rasa terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pucuk kepimpinan parti yang diketuai oleh Yang di-Pertua Parti atas sokongan dan kepercayaan diberikan kepada beliau untuk menerajui kepimpinan pemuda selama satu penggal.

Miro juga merakamkan jutaan terima kasih kepada semua rakan seperjuangan ahli-ahli MKT Pemuda dan mantan-mantan Ketua Pemuda yang pernah beliau berkhidmat bersama antaranya Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Dato Sri Fadillah Yusuf dan Dato Gerald Rentap Jabu.