MySRBN: 242 rumah di Pulau Bruit dapat manfaat, buka peluang baharu

DARO: Pelancaran Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) di Kampung Betanak di sini membuka peluang baharu kepada penduduk dalam pelbagai bidang.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, inisiatif itu sekali gus menjadi bukti komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat tanpa mengira lokasi dapat menikmati akses internet yang lebih pantas dan berkualiti.

”Kini Pulau Bruit bukan hanya dihubungkan dengan jambatan fizikal, sekarang telah disambungkan secara digital.

”Ini adalah merupakan satu langkah besar dalam menghubungkan Pulau Bruit dengan dunia luar, membuka peluang baharu yang lebih luas untuk penduduknya berkembang dalam era digital,” katanya ketika majlis pelancaran MySRBN di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya sebanyak 585 tapak MySRBN telah beroperasi di seluruh Sarawak dan akan terus diperluas untuk memberikan akses internet berkualiti tinggi.

”Setakat 31 Disember 2024, MySRBN telah menghubungkan lebih daripada 28,000 rumah di kawasan liputan MySRBN seluruh Sarawak.

”Untuk Pulau Bruit khususnya, sebanyak 242 rumah telah dihubungkan dan saya berharap angka ini akan meningkat selepas pelancaran ini,” tambahnya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir Ts Sudarnoto Osman, Residen Mukah, Datu Kueh Lei Poh dan Pegawai Daerah Daro, Zul Usup.