Nelayan Bukit Saban terima bantuan peralatan moden

BETONG: Empat belas nelayan sungai di Bukit Saban menerima bantuan peralatan menangkap ikan bernilai RM20,000 seorang di bawah program Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata peralatan termasuk bot, enjin sangkut dan kelengkapan moden lain yang memudahkan nelayan bekerja dengan lebih efisien dan selamat.

“Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan ekonomi luar bandar bagi membantu golongan sasar seperti nelayan, penternak dan pekebun kecil meningkatkan taraf hidup.

“Bantuan ini memberi peluang kepada nelayan menggunakan peralatan lebih baik untuk meningkatkan tangkapan dan pendapatan. Harapan kita, mereka dapat memanfaatkan peluang ini secara optimum,” katanya semasa majlis penyerahan bantuan peralatan di Pejabat Pertanian Daerah Kecil Spaoh, semalam.

Beliau menambah penerima digalakkan untuk meneroka projek sampingan seperti penternakan ikan kolam atau akuakultur lain bagi menambah pendapatan.

Projek ternakan udang kara air tawar di Bebuling Agropark contohnya, membolehkan nelayan tempatan menjadi sebahagian daripada rantaian pengeluaran dan membuka peluang pasaran eksport baharu.