Sarawak dapat perhatian di ICCA

PORTO, PORTUGAL: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mencatat sejarah apabila menjadi menteri pertama dari Asia berucap pada sidang Persatuan Konvensyen dan Kongres Antarabangsa (ICCA) ke-64 di Porto, Portugal semalam.

Penyertaan delegasi dari Sarawak dalam sidang itu menjadi tumpuan ICCA, apabila Abdul Karim dan menteri-menteri turut serta dalam sesi dialog dengan Pemimpin Industri berbincang mengenai kolaborasi dengan kerajaan, kata Biro Konvensyen Sarawak (BESarawak) dalam satu kenyataan di sini.

Delegasi paling ramai dari Sarawak pada sidang berkenaan mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak sebagai peneraju global dalam menganjurkan konvensyen.

Pada sidang itu, Abdul Karim bercakap mengenai konvensyen yang dianjurkan oleh Kerajaan Sarawak melalui perkongsian rapat dengan pelbagai kementerian.

Perkongsian jangka panjang amat penting untuk meyakin dan mengeratkan kerjasama dengan keperluan industri yang mengutamakan kepentingan negara, katanya.

Pada majlis itu, BESarawak menerima Anugerah ICCA sebagai menghargai sumbangan Sarawak dalam mengukuhkan pembangunan industri di wilayah APAC.

Amelia Roziman yang menerima anugerah itu bagi pihak Kerajaan Sarawak berkata, Sarawak menghargai pengiktirafan berkenaan sebagai pemimpin wilayah dalam mentransformasikan acara perniagaan.

Pengiktirafan itu, katanya, akan menjadikan Sarawak berusaha lebih kreatif dalam membangunkan acara perniagaan di pasaran global.

Delegasi dari Sarawak ke sidang Porto itu terdiri daripada wakil dari Kementeri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni persembahan, BESarawak, Lembaga Pelancongan Sarawak, Majlis Seni Sarawak, Jabatan Muzium Sarawak, Majlis Kraf Sarawak, Pengerusi Jawatankuasa Acara Perniagaan Miri, Adam Yii dan Pengerusi Jawatankuasa Acara Perniagaan Sibu, Dr. Renco Yong.