Nelayan Lawas terima peralatan tangkap ikan, jana ekonomi

LAWAS: Unit Pembangunan Sosio-Ekonomi, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) menganjurkan Majlis Penyerahan Peralatan bagi Inisiatif Pendapatan Rakyat – Basmi Miskin Tegar (IPR-BMT) Fasa 1, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan RECODA, melalui Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) di bawah lembaga itu, nelayan tempatan menyertai inisiatif ini mendapat set lengkap peralatan menangkap ikan, termasuk bot dan enjin.

Ini bagi menyokong usaha mereka menjana pendapatan serta meningkatkan taraf hidup.

“Ia komitmen berterusan RECODA dalam memperkasa ekonomi, sekaligus menyokong pembangunan mampan, agar komuniti luar bandar dan pesisir seperti di Lawas, dapat meningkatkan pendapatan,” menurut RECODA.

Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Wilayah NRDA, Datu Ubaidillah Abdul Latip, Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Rozita Kulai, dan Pengurus PNK Lawas, Basran Sakmad.