KUCHING: Pameran Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di pusat beli-belah Plaza Merdeka di sini, menampilkan sejarah pembentukan Malaysia menerusi lima segmen utama.
Menteri Komunikasi, Dato Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama-sama merasmikan pameran berkenaan hari ini.
‘Koridor Zaman Pembentukan Malaysia’ menjadi tema pameran yang diselaraskan Jabatan Penerangan Malaysia menerusi JAPEN Sarawak bagi meningkatkan penghayatan masyarakat terhadap sejarah pembentukan Malaysia.
Pameran yang sedang berlangsung sehingga 16 September itu menampilkan Denai Masa Pembentukan Malaysia, Dokumen Pembentukan Malaysia, Jawatankuasa dan Suruhanjaya Pembentukan Malaysia, Galeri Tokoh serta Galeri Kenegaraan: Jejak Identiti Malaysia.
Pengunjung turut disajikan dengan kuiz kenegaraan, permainan Kahoot, bicara ringkas, pertandingan gambar kreatif, persembahan kebudayaan PENTARAMA dan demonstrasi pemuliharaan dokumen.
Pameran mini turut diadakan di 10 bahagian di Sarawak selain lokasi tambahan di Sabah dan Putrajaya bagi memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat mengenali sejarah pembentukan Malaysia.
Penganjuran itu turut membawa mesej muafakat dan kebersamaan sebagai asas keharmonian negara, selaras dengan tema HKHM 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”.
