Pendaftaran SKAS di Lawas lancar

LAWAS: Ahli-ahli Saberkas, Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Sayap Pergerakan Belianya digesa turun padang membantu petugas Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) menyemak kelayakan orang ramai yang hadir.

Exco Pergerakan Pemuda Parti PBB, Steve Lius berkata, tepat pada masanya Pemuda dan Belia di peringkat parti dan pertubuhan turun membantu menyumbang tenaga serta kemahiran menggunakan teknologi digital kepada masyarakat.

“Anak-anak muda juga boleh membantu mereka yang tidak mahir mengakses internet,” katanya ketika ditemui semasa pendaftaran Sarawak ID dan SPay Global SKAS di Arena Lawas, semalam.

Turut bersama Steve pada hari kedua pendaftaran dan semakan SKAS di Lawas ialah Setiausaha Parti PBB Cawangan Bukit Sari, Awang Ibrahim Ahmad, Bendahari Saberkas Bukit Sari, Awangku Mohd Ariffin Pengiran Jawa dan rakan pemuda PBB Cawangan Bakelalan.

Perjalanan pendaftaran SKAS berjalan lancar dengan tambahan tujuh kaunter menjadikan semuanya 15 kaunter.