Pendidikan agama, moral bentuk sahsiah diri

KAPIT: Penekanan ilmu agama serta moral dalam diri anak-anak penting kerana nilai-nilai agama dijadikan panduan dalam menjalani kehidupan mendatang.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ibu bapa harus mengingatkan anak-anak tentang adab walau di mana mereka berada kerana orang yang beradab semestinya mempunyai ilmu dan orang yang berilmu belum tentu ada adab.

“Kita juga sedia maklum bahawa pendidikan sebenar dalam diri anak-anak sebenarnya bermula dari rumah. Jadi, tidak seharusnya ibu bapa melupakan peranan mendidik anak-anak di rumah agar anak kita mampu menjadi insan berguna pada masa akan datang.

“Justeru, ibu bapa hendaklah menekankan aspek agama dan moral terhadap anak-anak agar menjadi modal insan cemerlang dari segi akademik dan sahsiah,” katanya semasa berucap pada mesyuarat agung tahunan PIBG Tahun 2024, hari ini.

Ahli Parlimen Kapit itu juga berkata, majlis ini merupakan program yang diatur untuk memberi peluang kepada ibu bapa atau penjaga dan para guru bagi mengetahui perkembangan akademik, sahsiah serta kokurikulum anak-anak atau program-program yang dijalankan di sekolah ini.

Katanya, hal ini bermakna PIBG berperanan penting dalam membantu sekolah meningkatkan pencapaian dan sahsiah para pelajar.