KABONG: Perarakan usungan di Majlis Khatamal Al-Quran perlu diteruskan sebagai tradisi turun temurun masyarakat di pesisir Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, ini kerana masih terdapat masyarakat terutamanya generasi muda yang belum pernah kenal budaya unik ini.
“Sedikit sebanyak ia mempromosikan keunikan Kabong khasnya dan Sarawak amnya kepada umum,” katanya di Majlis Khatam Al-Quran Pelajar Tahun Enam di Masjid Assabirin Kabong di sini.
Kira-kira 100 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Kabong menjayakan majlis itu dan sebanyak 15 usungan menyertai pertandingan kali ini.
Usungan dimiliki Firas Qadisah Ardy dan Nur Batrisyia Faizal telah muncul johan dan membawa pulang hadiah RM500.
Naib johan pula dimenangi usungan Aina Fasihah Mohd Jawarie (RM400), manakala tempat ketiga usungan Muhd Afiq Syazwan Hamidi (RM300).
