KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) dan Persatuan Pekilang Panel Malaysia (MPMA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkasakan industri perkayuan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Pembangunan Bandar & Sumber Asli II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, MoU ini mewujudkan ruang bagi STIDC untuk menjalin kerjasama strategik dengan MPMA berhubung latihan sambil kerja dan penempatan dalam industri perkayuan di Semenanjung Malaysia.
Melalui MoU ini katanya, STIDC akan berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan hutan serta kerja-kerja R&D dalam LPF0043 yang dikeluarkan Sarawak Planted Forest Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh STIDC.
“Ini sememangnya program yang mempunyai objektif bersama untuk Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia untuk mengubah landskap industri perkayuan.
“Ini termasuk automasi, menuju ke arah Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan melaksanakan ekonomi hijau dan bulat. Ini akan menggalakkan bakat tempatan dalam industri perkayuan dan mengurangkan pergantungan kepada buruh asing manual,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh semasa Majlis MoU di antara STIDC dengan MPMA di sini, malam tadi.
Beliau berharap kerjasama ini akan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan industri perkayuan Malaysia ke arah yang lebih mampan.
Selain itu, MoU ini katanya akan membuka jalan kepada kedua-dua organisasi untuk bekerjasama, berkongsi kepakaran dan pengetahuan untuk mengembangkan dan membangunkan industri perkayuan Malaysia.
Beliau menjelaskan, Sarawak telah mengeksport kayu pelet ke Jepun, Perancis dan Korea pada nilai eksport sebanyak RM36 juta.
Tambahnya, STIDC telah menyediakan kertas cadangannya mengenai Pelan Tindakan Produk Kayu Jisim yang akan dibentangkan pada mesyuarat ahli lembaga pengarah STIDC untuk kelulusan pada Selasa.
“Dokumen penting ini menyediakan garis panduan dan perancangan masa hadapan untuk industri perkayuan di Sarawak termasuk industri kayu jisim,” tambahnya.
