Pergerakan Wanita Parti PBB tekad rancakkan usaha demi aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030

KUCHING: Wanita Sarawak harus berani berpolitik secara aktif dan bermakna dalam mengisi agenda kepimpinan dan pembangunan bangsa dan negara.

Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata,
penyertaan secara aktif itu seiring dengan semakin berkembangnya kesedaran tentang kesetaraan, kesaksamaan gender, ruang sumbangan yang semakin luas dan terbuka.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, berkata, kebolehan dan kemampuan yang semakin diiktiraf dan dihargai terhadap golongan wanita.

“Wanita Sarawak harus berkeyakinan tinggi untuk menjadi sumber inspirasi dan memberi kekuatan utuh dalam usaha memakmurkan Sarawak dan mensejahterakan rakyat melalui pergerakan kepartian yang berdispilin dan berdidikasi dalam Parti PBB,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Ke-16 Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita Parti PBB oleh Timbalan Yang di-Pertua parti, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini.

Wanita Parti PBB, katanya, bertekad untuk merancakkan lagi usaha bergerak dan bertindak secara bersama-sama bersinergi bagi merealisasikan aspirasi Sarawak Maju Makmur menjelang 2030, bertunjangkan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

Pergerakan Wanita, tambahnya, juga mahu kesinambungan perjuangan parti di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, diteruskan demi kelangsungan yang bermaruah, kestabilan yang mantap dan perpaduan yang harmonis.

Menurut Fatimah, Abang Johari telah membawa banyak perubahan kepada Sarawak, mengangkat nama Sarawak di pentas dunia, termasuk dalam aspek ekonomi hijau, inovasi teknologi, dan hak-hak Sarawak di bawah MA63.

Sehubungan itu, katanya, Wanita Parti PBB berdiri teguh mendukung kepimpinan beliau demi masa depan Sarawak yang makmur.

Beliau mengajak ahli-ahli Wanita Parti PBB supaya bergerak ke hadapan dengan semangat dan kesatuan yang kukuh.

“Sebagai tulang belakang parti, Wanita Parti PBB hendaklah dan akan terus menjadi peneraju perubahan, pengukuh perpaduan, dan pembawa harapan bagi keluarga, masyarakat dan seluruh rakyat Sarawak.

“Berpandukan visi yang jelas, bertunjangkan iltizam yang tinggi, dan berpaksikan perpaduan yang teguh, saya yakin kita mampu membawa Wanita Parti PBB ke tahap yang lebih tinggi.

“Saya amat yakin bersama Ahli Majlis Tertinggi (MT), Pemuda dan Belia Parti PBB, secara bersinergi dan saling melengkapi, kita memiliki berkeupayaan dan kekuatan untuk merealisasikan aspirasi menjadikan Sarawak sebuah wilayah yang maju, makmur dan bersatu padu,” katanya.

Fatimah mengingatkan bahawa kepimpinan adalah amanah dan kepimpinan juga merupakan peluang berharga untuk sama-sama memeta hala tuju, mencipta sejarah dan merangka naratif baharu.