KUCHING: Penduduk kawasan kampung nombor dan sekitarnya menarik nafas lega apabila laluan alternatif satu hala Jambatan Bintangor berhampiran Jalan Datuk Ajibah Abol di sini, dibuka kepada umum mulai hari ini.
Bagaimanapun, masa itu dibuka mulai jam 5 pagi hingga 2 petang dan ditutup semula 2 hingga 4.30 petang bagi membolehkan kerja- kerja pembinaan.
Manakala, dibuka semula jam 4.30 petang hingga 10.30 malam untuk menangani kesesakan trafik terutama pada waktu puncak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki yang mengadakan lawatan ke jalan jambatan berkenaan berkata, pembukaan laluan alternatif satu hala ini akan diteruskan sehingga projek jambatan ikonik tersebut disiapkan sepenuhnya menjelang Jun 2025.
“Namun, ia bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.
Turut diadakan ialah Majlis Penyerahan Pondok Polis Muara Sungai Bintangor daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kepada Polis Sarawak, di sini, hari ini.
Ibrahim menjelaskan, pembukaan laluan sepenuhnya masih belum dilakukan kerana kerja-kerja pembinaan yang sedang giat dilaksanakan itu berisiko berbahaya pengguna jalan raya.
“Setelah kerja-kerja itu siap dan keadaan selamat, jalan tersebut akan dibuka sepenuhnya dan berharap kedua-dua laluan dapat dibuka sepenuhnya sebelum Hari Raya Aidiladha,” katanya.
