SEB lancar sistem penyimpanan tenaga bateri pertama di Malaysia

KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) melancarkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berskala utiliti pertama di Malaysia yang ditempatkan di Stesen Janakuasa Sejingkat, Kuching.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, BESS berkapasiti 60 Megawatt (MW) atau 82 Megawatt Jam ini diaktifkan pada Disember 2024 dan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan sistem grid tenaga di Sarawak.

“Ini yang pertama di Malaysia, dan kalau ini berjaya mungkin kita boleh letakkan BESS di tempat yang lain, kerana ia salah satu mudah alih.

“Saya serta rakan-rakan berfikir ini boleh mencukupkan penggunaan tenaga atau keperluan tenaga yang lebih stabil di luar bandar,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Sejingkat Power Corporation (SPC) hari ini.

Abang Johari menambah, sistem ini membolehkan integrasi sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar, sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Dedahnya, SEB membelanjakan sebanyak RM128 juta untuk 22 kontena yang mengandungi banyak bateri.

BESS katanya, berfungsi sebagai simpanan tenaga kecemasan dan membantu dalam kawal selia voltan serta frekuensi grid.

Stesen Janakuasa Sejingkat yang berkapasiti 150MW merupakan loji jana kuasa arang batu pertama di Borneo serta kedua di Malaysia, kini dalam proses peralihan secara beransur-ansur ke arah sumber tenaga lebih bersih.

Langkah ini menunjukkan komitmen SEB terhadap kelestarian alam sekitar dan pengurangan pelepasan karbon.

Turut hadir Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Pengerusi SEB Dato Ibrahim Baki dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB Datuk Sharbini Suhaili.