KUCHING: Perjuangan Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) wadah mulia untuk memastikan parti keramat iaitu Parti PBB tetap utuh, disegani dan menjadi tulang belakang Kerajaan Sarawak, kata Ketua Pergerakan Pemuda parti, Miro Simuh.
Katanya, generasi pemuda ini adalah generasi keramat, maka pastinya Pergerakan Pemuda adalah hulubalang parti yang akan berada di mana-mana bila sahaja parti memberi arahan.
Menurutnya, sebagai Ketua Pemuda dan telah berada selama 15 tahun di dalam Exco Pergerakan Pemuda, belum terdapat adanya dalam kalangan pemuda yang membantah arahan dan kerahan yang diberikan oleh kepimpinan parti.
Malah katanya, Pergerakan Pemuda Parti PBB berdepan dengan beberapa pilihan raya dan berdepan dengan transisi politik, daripada Barisan Nasional (BN) kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Jelasnya, dengan semangat kerjasama yang jitu Pergerakan Pemuda Parti PBB berjaya menjayakan program Jelajah Bendera GPS 2020 selama 11 hari, bermula dari Lawas hingga ke Sematan dengan penuh iltizam, dedikasi dan ketaatan hingga sanggup meninggalkan keluarga sementara.
“Perjuangan kita sebagai Pemuda Parti PBB bukanlah perjuangan yang menyulami kebencian, mahupun keruntuhan, tapi perjuangan kita adalah wadah mulia untuk memastikan parti keramat kita Parti PBB tetap utuh dan disegani,” katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Miro berkata, Pergerakan Pemuda Parti PBB adalah penyambung kepada sebuah perjuangan murni, perjuangan untuk penyatuan bangsa, perpaduan pelbagai kaum dan perjuangan memartabatkan Sarawak dalam konteks pembentukan Malaysia.
Katanya, dalam masa yang sama Pergerakan Pemuda Parti PBB juga akan turut sama melakukan tuntutan berterusan rakyat Sarawak dalam memenuhi kehendak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 atau lebih dikenali dengan MA63.
Pada majlis itu, Miro yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri N.18 Serembu mengumumkan beliau akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda kerana memberi laluan kepada orang baharu.
Perhimpunan itu dirasmikan Timbalan Yang di-Pertua Parti Parti PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
