Persekitaran kondusif bagi tenaga kerja digital di Sarawak

KUCHING: Sarawak akan menyediakan kemudahan bagi tenaga kerja digital bekerja di negeri ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Len Talif Salleh berkata kemudahan itu seperti penginapan, ruang kerja dan infrastruktur lengkap akan disediakan bagi menarik penyertaan tenaga kerja digital termasuk dari luar negara.

“Inisiatif ini dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, sekali gus menyediakan persekitaran kondusif untuk mereka yang bekerja, tinggal dan berinovasi di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merasmikan Sapphire Run Bersama Komuniti Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) sempena ulang tahun ke-45 LCDA di Padang Merdeka, di sini hari ini.

Len menjelaskan, bahawa pembangunan ‘Digital Village’ sedang diperluaskan bagi menyokong ekosistem ekonomi digital di negeri ini.

Katanya, langkah berkenaan selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk mempercepatkan agenda transformasi digital serta melahirkan lebih ramai usahawan muda berdaya saing.