BINTULU: Syarikat Pertama FerroAlloys Sdn. Bhd yang beroperasi di Taman Perindustrian Samalaju antara pemacu utama ekonomi di utara Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, syarikat berkenaan bukan sahaja aktif dalam mengembangkan operasi industri, malah turut memainkan peranan untuk menjana peluang pekerjaan kepada penduduk.
“Pertama FerroAlloy telah menyediakan peluang pekerjaan kepada 732 orang, yang mana lebih 90 peratus terdiri daripada anak-anak Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke syarikat tersebut, di sini hari ini.
Dalam masa sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) itu turut memuji komitmen Pertama FerroAlloys dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan kemahiran dalam kalangan pekerja, serta inisiatif kemasyarakatan yang memberi impak positif kepada komuniti sekitar.
Menurut beliau, syarikat tersebut telah merancang untuk memperluaskan pelaburannya melalui penghasilan produk tambahan seperti ferosilikon dan aloi mangan dua bahan penting dalam pengeluaran keluli.
