BINTULU: Kerajaan Sarawak konsisten dalam memperjuangkan hak-hak negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Premier Sarawak.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia bagi memastikan janji-janji pembentukan Malaysia dalam MA63 dilaksanakan sepenuhnya.
Katanya ini melalui kerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri dan banyak kemajuan telah dicapai dalam mengembalikan hak Sarawak yang telah terhakis.
“Walaupun banyak kejayaan yang kita capai dalam mengembalikan hak kita dalam MA63, namun perjuangan kita belum selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2025 di sini, malam ini.
Sambutan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri,Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Abang Johari berkata, mereka bertekad untuk terus memperjuang dan mengembalikan hak Sarawak seperti termaktub dalam MA63 demi kesejahteraan rakyat.
Beliau juga mendedahkan baru-baru ini Sarawak menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Tindakan Perlaksanaan MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri di Kuching, sekali lagi menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan hak-hak ini.
“Salah satu persetujuan yang telah dicapai ialah Kerajaan Persekutuan bersedia untuk mempertimbangkan supaya bilangan kerusi Dewan Rakyat bagi Sarawak dan Sabah ditambah,” katanya.
Menurutnya, langkah ini penting bagi memastikan suara rakyat di kedua-dua negeri ini mendapat representasi yang lebih adil di Dewan Rakyat.
Turut dipersetujui bahawa Jemaah Menteri akan mengemukakan kertas cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman di Sarawak dan Sabah diperakukan oleh Yang di-Pertua Negeri masing-masing.
“Inilah bukti pengiktirafan kepada kedudukan istimewa kedua-dua negeri dalam Persekutuan,” tambahnya.
Menurutnya, dalam soal pengurusan alam, Penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan dikecualikan melalui pengeluaran Perintah di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan dan pengecualian ini juga turut akan dibentangkan di Parlimen pada Disember tahun ini.
“Ini bermakna kita sedang melangkah ke arah mengambil alih kuasa penuh untuk menentukan dasar dan hala tuju alam sekitar negeri kita sendiri mengikut keperluan, kepentingan dan aspirasi rakyat kita,” katanya.
Abang Johari berkata, ini bukti bahawa Sarawak bukan hanya sebahagian daripada Malaysia, tetapi rakan kongsi yang setara dalam membina negara bangsa ini.
