Premier Sarawak terima anugerah tertinggi Jepun

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima pengiktirafan berprestij daripada Kerajaan Jepun menerusi penganugerahan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star.

Anugerah tertinggi itu disampaikan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan besar beliau dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Jepun dan Malaysia, khususnya dalam bidang ekonomi, tenaga, alam sekitar serta pembangunan modal insan.

Menurut Kedutaan Jepun dalam kenyataan semalam, Premier merupakan antara penerima Autumn Imperial Decorations 2025 yang diumumkan oleh kerajaan negara itu.

“Beliau memainkan peranan penting dalam memperluas kerjasama ekonomi dan tenaga antara Jepun dan Sarawak, terutamanya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen dan amonia,” menurut kenyataan tersebut.

Kedutaan itu menambah, kepimpinan Premier Sarawak telah membantu mengukuhkan kerjasama dengan syarikat-syarikat utama Jepun, sekali gus menyumbang kepada keselamatan tenaga jangka panjang negara berkenaan menerusi pembekalan gas asli cecair (LNG) yang stabil.

Selain itu, Premier juga aktif menjalin kerjasama dalam bidang alam sekitar, termasuk projek pemuliharaan hutan dan biodiversiti bersama universiti serta organisasi dari Jepun.

Kedutaan Jepun berkata, kepimpinan serta dedikasi Abang Johari telah memberi impak besar terhadap hubungan erat dan persahabatan antara Jepun dan Malaysia.

Majlis penganugerahan tersebut dijadual diadakan pada 11 November ini di Jepun.