Projek STR Pakej B2 Fasa 1 diharap selesai serentak Projek Jambatan Lupar II

SIMANGGANG: Majlis pecah tanah Projek Jalan Utama Kedua (STR) bagi Pakej B2 Fasa 1 berlangsung di Bandar Simanggang, di sini.

Projek merangkumi cadangan pembinaan jalan dari kawasan Kejatau menuju ke Jambatan Batang Lupar II dan jalan susur menuju ke bandar Simanggang berharga RM154 juta.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang melakukan perasmian itu berharap pakej berkenaan dapat diselesaikan serentak dengan Projek Jambatan Lupar II yang dijangka selesai pada 20 Julai tahun depan.

“Projek Pakej B2 Fasa 1 STR ini akan membolehkan pengguna menggunakan jalan pintas (dari JKR Sri Aman) menuju terus ke Jambatan Batang Lupar II (di Jalan Sembauh, Sri Aman) apabila siap kelak,”katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, Pengerusi Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Datuk Rohani Abdul Karim, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Richard Tajan dan Timbalan Pengarahnya (Infrastruktur), Cassidy Morris.