Tiga pemilik Skim Penanaman Padi terima bayaran pendahuluan

TANJUNG MANIS: Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIKR) membuat bayaran pendahuluan sejumlah RM18,000 untuk 18 plot bagi tujuan pajak tanah.

Ia untuk skim penanaman padi di Sungai Bapa kepada tiga pemilik yang terlibat.

Sebanyak empat plot dengan jumlah 15.7 ekar milik tiga peserta sudah ditanam padi sementara yang lain masih dalam proses pembersihan tanah.

Penyampaian bayaran pendahuluan plot tersebut dilakukan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh semasa Program Jelajah Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang di Masjid Darul Ibadah Kampung Rajang, semalam.

Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang turut menyantuni 339 orang asnaf dan warga emas dengan menyampaikan sumbangan duit raya menerusi ketua kaum masing-masing daripada Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kuala Rajang berjumlah keseluruhan RM16,950.

Turut disampaikan ialah sumbangan kepada Pengurusan Masjid Darul Ibadah Kampung Rajang berjumlah RM4000 dari LAKIKR serta RM2000 dari Pusat Khidmat PBB Kuala Rajang.