Bahan mentah meningkat, peniaga bazar perlu naik harga makanan

KUCHING: Orang ramai diminta memahami sebab peniaga tempatan terpaksa menaikkan harga makanan di Bazar Ramadan tahun ini.

Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, antaranya ialah harga bahan mentah makanan yang sudah meningkat.

“Sudah tentu mereka terpaksa menaikkan harga, saya yakin mereka tidak menaikkan sesuka hati, jadi harap memahaminya,” katanya selepas merasmikan
Bazar Ramadan Madani Medan Niaga Satok anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), di sini hari ini.

Fazzrudin berkata, beliau juga yakin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sentiasa melakukan pemantauan terhadap harga makanan di Bazar Ramadan di negeri ini.

“Mereka (kementerian) ada menerima aduan, akan memeriksa dan membuat lawatan serta pemeriksaan,”katanya.