KUCHING: Kerajaan Sarawak adalah seperti keluarga besar yang sentiasa berusaha memastikan anak-anak Sarawak mendapat pendidikan terbaik, kata Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak.
Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, seperti ibu dan bapa yang bekerja keras untuk kebaikan anak-anak, Kerajaan Sarawak juga berusaha bersungguh-sungguh mencari dana untuk dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai insiatif seperti pendidikan dan kebajikan.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan pucuk kepimpinan negeri berfungsi sebagai ibu bapa,” katanya merasmikan Taklimat Inisiatif Pendidikan Premier Sarawak di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kuching Sarawak (PKS) di sini, semalam.
Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong menegaskan, pucuk kepimpinan Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha mencari jalan membelanjakan pendapatan untuk membantu pelajar supaya tidak seorang pun tercicir disebabkan kekangan kewangan.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM7 juta tahun ini untuk subsidi tiket penerbangan bagi membolehkan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) pulang ke kampung dua kali setahun.
Mulai tahun depan, katanya, Kerajaan Sarawak akan menyediakan skim pengajian percuma kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT milik Kerajaan Sarawak.
Timbalan Pengarah (akademik) PKS, Aidawati Mustapha pula berkata, PKS akan meneruskan misinya melahir graduan berkualiti tinggi dan memenuhi keperluan industri sambil bekerja rapat dengan Kerajaan Sarawak membangunkan modal insan dan kebajikan pelajar melalui inisiatif seperti Skim Bantuan Sewaan Rumah Sarawak (SRAS).
PKS yang ditubuh 1988 sebagai politeknik kelima Malaysia, katanya, kini menjadi institusi utama dalam landskap pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Sarawak.
Memiliki kemudahan moden, selamat dan kondusif penting untuk memastikan proses pembelajaran pengajaran lebih berkesan sejajar dengan keperluan industri sekarang, tegas beliau.
