KUCHING: Kawasan pesisir dan luar bandar Sarawak bakal mengalami gelombang pertumbuhan ekonomi pesat sebaik keseluruhan 20 jambatan utama di seluruh negeri ini siap sepenuhnya pada 2028.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pelaksanaan projek tersebut merupakan kesinambungan kepada jaringan jalan utama, jambatan dan projek Pan Borneo.
“Menjelang tahun 2026 hingga 2028, kesemua jambatan termasuk 17 jambatan utama (sebenarnya berjumlah 20) keseluruhannya termasuk jambatan kecil dijangka siap sepenuhnya.
“Apabila kesemuanya siap, tumpuan kita akan beralih kepada pelaksanaan projek pembangunan besar yang seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ulang Tahun Jurutera Perunding Bumiputera Sarawak (GJPBS) dan Anugerah Jurutera 2025, di sini, malam tadi.
Katanya, selepas fasa jambatan dan jalan utama disiapkan, pembangunan akan diteruskan dengan beberapa projek jalan raya strategik lain, termasuk pembinaan Lebuh raya Pesisir Utara.
Jelas beliau, projek-projek tersebut akan melibatkan pembinaan jambatan, jejambat panjang dan terowong memandangkan kawasan utara Sarawak mempunyai bentuk muka bumi yang berbukit dan kompleks, yang memerlukan kepakaran kejuruteraan tinggi.
Tegas Premier lagi, pelaksanaan berterusan projek infrastruktur ini akan membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk jurutera, arkitek, kontraktor dan lain-lain sekali gus memberi impak langsung kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Dalam ucapan sama, Premier berkata pembinaan lapangan terbang baharu di Tanjung Embang akan menjadi antara tiga agenda infrastruktur utama negeri yang bakal dilaksanakan menjelang tahun 2030 menandakan anjakan besar dalam strategi pembangunan ekonomi dan logistik Sarawak ke arah ekosistem penerbangan masa depan.
Direka dengan konsep generasi terkini dan teknologi pintar, lapangan terbang ini dijangka bukan sahaja menandingi, malah mengatasi kemudahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari segi reka bentuk, kecekapan dan kemampanan.
“Model lapangan terbang ini berasaskan reka bentuk Lapangan Terbang Antarabangsa Doha yang menekankan konsep kompleks moden dengan kemudahan menyeluruh.
“Projek ini melibatkan pembinaan dua landasan, bangunan utama, kemudahan IT berteknologi tinggi dan jalan masuk bertaraf antarabangsa,” katanya.
