PUSAKA kongsikan keberkesanan AIGA pada MUT

KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) menerima lawatan penanda aras integriti dari Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) hari ini.

Menurut kenyataan PUSAKA, lawatan bertujuan mendapatkan pendedahan, menilai serta mempelajari amalan terbaik serta memberi pendedahan mendalam kepada pegawai MUT mengenai keberhasilan PUSAKA dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA).

Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Raduan Bujet, berkata lawatan ini merupakan inisiatif strategik bagi mendapatkan pengetahuan dan pendedahan mengenai pelaksanaan AIGA.

“Perkongsian amalan terbaik PUSAKA diharapkan memperkukuh kefahaman dan
keupayaan kementerian dalam mengukuhkan integriti organisasi secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Kanan Pentadbiran PUSAKA,Suraya Mohamad Ali berkata perkongsian pengetahuan sedemikian bukan sahaja mengukuhkan organisasi
tetapi juga memupuk budaya integriti kolektif dalam sektor awam.