Sarawak ketengahkan agenda 2030 di Barcelona

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi mengukuhkan penglibatan globalnya pada Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Barcelona 2026 dengan matlamat yang jelas.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, penyertaan Sarawak pada MWC kali ini berperanan memposisikan negeri ini sebagai ekonomi progresif dan destinasi pelaburan berdaya saing.

Kongres tersebut dijadual berlangsung mulai 2 hingga 5 Mac depan di Barcelona.

Katanya, penyertaan dalam kongres berkenaan menyediakan platform penting untuk Sarawak berinteraksi dengan rakan global, memperkukuh keupayaan industri dan digital serta menarik pelaburan berkualiti.

Katanya, Sarawak menggerakkan pendekatan pembangunan yang menekankan keseimbangan pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan tanggungjawab alam sekitar.

“Pada masa sama, perluasan berterusan rangkaian gentian optik, jalur lebar luar bandar dan penyelesaian kesalinghubungan satelit memastikan capaian yang boleh dipercayai dan inklusif supaya transformasi digital memberi manfaat nyata kepada komuniti di Sarawak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, Sarawak juga menyasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM282 bilion menjelang 2030, pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus berbanding tahun 2005 serta peningkatan pendapatan bulanan isi rumah median kepada kira-kira RM15,000 melalui pembangunan inklusif dan mampan.

Selain itu jelasnya, liputan internet kini melebihi 90 peratus kawasan berpenduduk hasil peluasan rangkaian gentian optik, jalur lebar luar bandar dan penyelesaian satelit, manakala inisiatif SMART600 dan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) terus memperluas akses digital di seluruh negeri.

Dari sudut tenaga katanya, hidro menyumbang 60 peratus kapasiti terpasang negeri iaitu 3,558 megawatt (MW), diikuti gas 22 peratus, arang batu 15 peratus, diesel dua peratus dan solar satu peratus, sekali gus menyokong pembangunan industri dan ekonomi digital berintensifkan tenaga.

Dalam masa sama, pertumbuhan industri dipacu menerusi zon strategik seperti Taman Teknologi Tinggi Kuching (Zon Bebas) dan kluster perindustrian Samalaju, selain projek hidro utama serta inisiatif hidrogen hijau yang menyokong pembangunan rendah karbon.

Katanya, Sarawak turut menyasarkan penciptaan lebih 300,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2030 melalui pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma bermula 2026 dan Pakej Pekerjaan Sarawak (SPACK) bagi memperkukuh pembangunan serta pengekalan bakat dalam sektor strategik.