Sarawak negeri pertama miliki sekolah antarabangsa

KUCHING: Sarawak muncul sebagai negeri pertama di negara ini membangunkan sekolah antarabangsa milik kerajaan negeri dalam usaha memperluas akses pendidikan bertaraf dunia dan berkualiti kepada anak-anak di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata sebanyak lima sekolah antarabangsa dibangunkan di bawah Yayasan Sarawak dengan dua daripadanya masing-masing di Petra Jaya dan Batu 12, Kuching, sudah beroperasi.

Menurutnya, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen jangka panjang kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan modal insan menerusi penyediaan pendidikan berkualiti tinggi berpiawaian antarabangsa, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi pelajar.

Beliau berkata, dasar yang dilaksanakan bertujuan memastikan peluang menimba ilmu diberikan kepada semua anak yang berpotensi, sama ada daripada keluarga berpendapatan rendah, sederhana mahupun berkemampuan.

“Dalam dasar kita, kita mahu memberi ilmu kepada anak-anak yang berpotensi tanpa mengambil kira latar belakang dan status mereka. Ini kerana untuk membangunkan masyarakat yang mempunyai piawaian antarabangsa, mereka perlu dibekalkan dengan ilmu terkini yang selaras dengan tahap global,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) di sini hari ini.

Premier Sarawak menambah, pemilihan silibus mengikut silibus Cambridge di sekolah antarabangsa ini untuk memberi pendedahan kepada pelajar dengan piawaian antarabangsa selain membuka laluan kepada mereka untuk bersaing di peringkat global.

Bagaimanapun katanya, selain menggunakan silibus Cambridge iaitu ‘The International General Certificate of Secondary Education’ (IGCSE), sekolah ini masih mengikut polisi pendidikan negara yang mewajibkan matapelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Moral atau Pendidikan Islam untuk diambil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai status sekolah antarabangsa di Miri dan Bintulu, Abang Johari mendedahkan status terkini projek berkenaan telah dilaksanakan manakala sebuah lagi masih dalam perancangan.

“Sekarang telah memasuki fasa pembinaan di mana untuk bahagian Miri sekolah berkenaan akan dibina di dalam kawasan Bekenu yang telah bermula dan proses tendernya telah diputuskan dan begitu juga untuk Bintulu.

“Kita ada lima sekolah antarabangsa di mana satu lagi masih dalam perancangan,” jelas beliau.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee serta tetamu kehormat lain.