KUCHING: Dalam usaha memperkasa kualiti dan profesionalisme kewartawanan di negeri ini, Kerajaan Sarawak merancang untuk menaja wartawan tempatan mengikuti program latihan eksekutif di luar negara.
Berita gembira itu diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sambil menambah, inisiatif tersebut akan dilaksanakan melalui kerjasama bersama badan-badan wartawan di Sarawak, bertujuan memberikan pendedahan antarabangsa kepada pengamal media yang berkelayakan.
“Saya telah mengarahkan Datuk Abdullah Saidol (Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak) untuk melihat perkara ini.
“Tahun lepas saya sudah nyatakan hasrat untuk menghantar wartawan yang mempunyai latar belakang tertentu ke luar negara bagi mengikuti program eksekutif,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Karbon Asia (ACC) 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Abang Johari menjelaskan, pelaksanaan program ini akan dilakukan secara sistematik dengan penilaian kelayakan bagi memastikan hanya wartawan yang memenuhi kriteria ditetapkan dihantar menyertai latihan tersebut.
Menurutnya, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan khas untuk menjayakan inisiatif tersebut sebagai pelaburan jangka panjang demi masa depan industri media di Sarawak.
“Saya sudah bersedia. Kalau kita boleh beri pendidikan percuma kepada anak-anak Sarawak menjelang 2026, sudah tentu kita juga ada peruntukan untuk menghantar wartawan menjalani latihan eksekutif.
“Saya harap kita dapat meningkatkan kualiti laporan dan melahirkan wartawan yang mampu membawa idea-idea segar untuk mengangkat martabat kewartawanan di Sarawak,” tambahnya.
