Pegawai polis Bukit Aman lawat pondok, pos kawalan di Ba’kelalan

LAWAS: Jabatan Logistik dan Teknologi Polis Bukit Aman mengadakan lawatan kerja ke Pondok Polis Ba’kelalan dan Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ba’kelalan, di sini, semalam.

Rombongan diketuai Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Polis Bukit Aman, CP Dato Seri Sahabudin Abd Manan dan disertai pegawai tinggi polis iaitu SAC Zulkifli Abu Bakar, ACP Alias Mohamad dan SUPT Shahrulnizam Ahmad.

Mereka berlepas dari Bario, Marudi dan sejurus tiba di Lapangan Terbang Ba’kelalan telah disambut mesra oleh Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan dan warga kerja serta PERKEP Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Lawas.

Seterusnya rombongan dibawa melawat Pondok Polis Ba’kelalan di Pos Kawalan Imigresen Ba’kelalan dan selepas itu ke perbatasan sempadan Malaysia/Indonesia di Ba’kelalan dan Long Bawan.

Rombongan terus ke Pos Kawalan PGA Ba’kelalan dan disambut mesra oleh Komander Kompeni ‘C’ Batalion 12 PGA Limbang, ASP Azhar Mohamad.

Selesai lawatan itu, rombongan bergerak ke Lapangan terbang Ba’kelalan dan berlepas ke Miri menggunakan pesawat udara polis.

DSP Liong berkata, lawatan kerja itu adalah untuk meninjau sendiri keadaan logistik dan penugasan polis di Pondok Polis Ba’kelalan.